RSS

Thursday, January 21, 2010

Program 3 dalam 1

Baru-baru ini, pada 15 dan 16 Januari 2010, Kelab Debat dan Mahasiswa Intelektual (DEMI) telah mengadakan Hari Keluarga Kelab DEMI yang bertempat di LA Hot Spring, Besut, Terengganu. Program ini turut digabungkan dengan Program Sambutan Hari Lahir DEMI dan Team-Building yang menjadikannya sebagai program 3 dalam 1.

Tujuan Hari Keluarga DEMI ini diadakan adalah pertamanya untuk mengeratkan silaturrahim antara ahli kelab DEMI, alumni DEMI dan juga penasihat Kelab DEMI iaitu Puan Rozita Jayus yang turut sama menyertai program ini bersama keluarga. Selain itu, program ini turut bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dan membina minda kreatif dan positif dalam melakukan sesuatu tugasan yang diberikan. Program ini turut dihadiri dan disertai oleh En Affandy selaku pegawai kaunseling UMT.

Apa yang menarik, program ini diadakan ala-ala perkhemahan kerana para peserta dikehendaki berkhemah dan memasak sendiri tanpa menggunakan bantuan dari luar.

Para peserta bekerjasama membina khemah manakal sebahagian yang lain pula memasak untuk makan tengahari.


Kolam Air Panas ini merupakan tarikan utama pengunjung ke LA Hot Spring. Air Panas ini merupakan air panas semulajadi yang sering dikunjungi untuk tujuan perubatan.

Aktiviti Team-building bermula pada jam 3 petang dengan diketuai oleh Encik Zahari dan Encik Khairul. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ialah Spider-Web, Menuju Puncak, Bersama Senior dan Jungle-trekking.

1. Spider-Web

Setiap peserta dikehendaki memboloskan diri melalui 'jaring' yang telah disediakan tanpa menyentuh tali jaring. Cubaan pertama untuk menyelesaikan tugasan ini mengambil masa selama 11 minit dimana 19 orang telah berjaya memboloskan diri. Namun begitu, untuk cubaan kedua, hanya 3 minit diperlukan apabila setiap peserta bertungkus lumus dan fokus melakukan tugasan yang diberikan.




Apa yang diperolehi melalui aktiviti ini,
1. Setiap ahli dalam pasukan mestilah mengambil bahagian dan memberikan komitmen terhadap tugasan yang diberikan.
2. Fokus merupakan perkara penting untuk menyelesaikan sesuatu tugasan selain dapat menjimatkan masa.
3. Perancangan merupakan perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum melaksanakan tugasan.


2. Menuju Puncak

Aktiviti ini memerlukan tenaga dan semangat berpasukan yang tinggi apabila kami dikehendaki mendapatkan 'makanan' yang digantung pada pokok yang tinggi. Apa yang dilakukan oleh setiap pasukan ialah, kami membina 'tangga' manusia untuk mendapatkan makanan tersebut. Alhamdulillah, kedua-dua pasukan berjaya dalam masa kurang dari setengah jam.





Apa yang diperolehi melalui aktiviti ini,
1. Asas merupakan perkara yang paling utama perlu diambil kira dalam menentukan kekuatan sesuatu pasukan.
2. Perancangan yang rapi dan teliti penting untuk memudahkan kerja.
3. Setiap ahli perlu saling menyokong antara satu sama lain untuk memastikan target pasukan dapat dicapai.


3. BBQ, Sambutan Hari Lahir dan Bersama Senior

Pada kali ini, 3 orang peserta yang lahir pada bulan December dan Januari telah diraikan iaitu Helmy, Aufar dan Mahfuzah. Sambutan Hari Lahir ini merupakan aktiviti wajib DEMI yang dilakukan setiap 3 bulan dimana ahli kelab yang menyambut hari lahir pada bulan berkenaan akan diraikan oleh semua ahli kelab.


Dari kiri: Kak Maizah, Abang Uzair, En Fendy, Dr Din dan Puan Rozita serta anak-anak.

Setelah sambutan hari lahir selesai, BBQ diteruskan dan kemudiannya disusuli pula dengan sesi Bersama Senior yang diadakan oleh Abang Uzair dan Kak Maizah yang merupakan anggota Alumni DEMI. Sesi ini berlangsung selama 1 jam 30 minit dimana perkongsian pengalaman dalam debat dan akademik dibincang secara bersama. Terima kasih kepada Abang Uzair dan Kak Mai atas bimbingan kalian.


4. Jungle-trekking

Aktiviti ini merupakan acara kemuncak sepanjang program ini berlangsung. Ia bermula seawal 8.30 pagi dengan aktiviti senaman ringkas. Kemudian, para peserta menuju ke Lata Beringin yang mengambil masa selama 2 jam dari tapak perkhemahan. Sepanjang perjalanan, kami telah dibawa ke beberapa tempat yang menarik seperti Batu Katak, Gua Bahtera, Sungai Putus, Batu Bulat dan Air Terjun Lata Beringin. Walaupun kepenatan, semua peserta menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi apabila saling bantu-membantu ketika menemui halangan sepanjang perjalanan.





Dalam perjalanan pulang ke UMT, kami telah singgah di Pantai Penarik untuk menikmati Ikan, Sotong dan Udang Celup Tepung yang begitu popular di Terengganu.


Apa yang diharapkan, semoga setiap ilmu dan tunjuk ajar serta pengalaman yang diperolehi sepanjang program ini diaplikasikan dalam debat dan juga pengurusan kelab. Semoga Kelab DEMI menjadi sebuah organisasi yang mampu melahirkan mahasiswa yang berintelektual dan berkepimpinan.

~Pemimpin Cemerlang, Organisasi Terbilang~

0 comments: